21 bot nelayan asing dihalau TLDM

21 bot nelayan asing dihalau TLDM

SEBANYAK 21 bot nelayan asing yang memasuki perairan negara di Pulau Perak petang semalam berjaya diusir kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Jebat dalam Op Benteng Laut, semalam.

TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan berjaya mengekang cubaan pencerobohan bot-bot berkenaan dari memasuki perairan negara kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Menurutnya, penyaluran maklumat pantas menerusi ‘Maritime Component Commander’ (MCC) Barat telah mengatur gerak aset KD Jebat untuk ke lokasi pengesanan bot nelayan asing berkenaan.

“Setibanya di posisi pengesanan, KD Jebat lantas mengusir tiga bot nelayan asing hingga keluar sempadan perairan negara.

“Manakala 18 lagi bot nelayan asing lain bertindak turut meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran aset pertahanan maritim negara,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu pesawat B200T (RMF 377) milik Tentera Udara Malaysia (TUDM) berjaya mengesan keberadaan 21 bot nelayan asing berkenaan di dua posisi berbeza iaitu pada 36 Batu nautika Selatan Pulau Perak dan 40 batu nautika Barat Laut Pulau Perak.

“Maklumat pengesanan itu lantas disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya tidak akan berkompromi dalam aktiviti yang melibatkan keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara.

“TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa memperkasakan kesiagaan aset-aset Op Benteng Laut demi menjaga perairan dan kedaulatan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen