Calon Ismail Sabri sebagai PM tunjuk kematangan Umno

Calon Ismail Sabri sebagai PM tunjuk kematangan Umno

KEPUTUSAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memperlihatkan kematangan parti, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, tindakan itu juga sekali gus dapat menangkis tanggapan salah pihak tertentu terutama pemimpin parti lain yang mengatakan Umno dalam keadaan berkecamuk.

“Ini (pemilihan Ismail Sabri) jelas memperlihatkan kematangan dalam Umno, orang kata Umno ini berkecamuk tak dapat menentukan siapa yang hendak dipilih sebagai ‘poster boy’.

“Tapi, sekarang jelas kita bersepakat bahawa Perdana Menteri adalah calon terbaik dan calon boleh menang untuk kita tonjolkan, jadi tutup cerita semua, orang boleh kata apa saja, hakikatnya Umno kini tenang dan bersiap sedia menghadapi PRU akan datang,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau ditemui selepas selesai Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di perkarangan bangunan DUN di Seremban, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau dan Pengarah Pilihan Raya Umno berkata, kini semua ahli akar umbi parti itu lega dengan keputusan yang dibuat oleh MKT.

Katanya, baginya untuk menghadapi PRU15 ini Umno mesti uruskan dengan baik terlebih dulu.

“Kita kena uruskan rumah tangga kita dulu (Umno), kalau rumah tangga kita berkecamuk, siapa kita hendak tonjolkan tidak tentu lagi hingga timbul tanda tanya dan berebut-rebut, itu tidak baik kepada parti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, tempoh yang ada ketika ini adalah waktu yang baik diadakan PRU15 kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) baharu saja memenangi Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Ini adalah waktu terbaik untuk diadakan pilihanraya, tetapi bila hendak diadakan itu terletak kepada Perdana Menteri untuk membawa nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya selaku Pengarah Pilihanraya menyiapkan parti dan menyusun strategi untuk parti. Insya-Allah kita (Umno) sudah bersedia menghadapi PRU akan datang,” katanya. – Malaysiapost

Komen