Didakwa gagal lunas hutang, Mawar lapor polis, buat sidang media esok.

Didakwa gagal lunas hutang, Mawar lapor polis, buat sidang media esok.

USAHAWAN dan selebriti Mawar Abdul Karim akan mengadakan sidang media bersama barisan peguambelanya esok berhubung kes tuntutan sivil di mahkamah terhadapnya. 

Mawar berhadapan tindakan undang-undang berkaitan tuntutan bayaran balik pinjaman persahabatan berjumlah RM720,000. 

Menerusi kenyataan bersama dua peguam bela yang dilantik, Datul Mohd Imran Tamrin dan Mohd Azali Ibrahim, tuntutan yang telah difailkan pihak plaintif terhadap Mawar sebagai defendan berkaitan tuntutan bayaran balik pinjaman itu. 

“Sati laporan polis telah dibuat pada 15 April 2022 oleh saudari Mawar Abdul Karim sebagai penafian terhadap dakwaan pihak plaintif bahawa kononnya beliau telah menerima pinjaman serta berhutang sebanyak RM720,000 daripada plaintif. 

“Selain itu, pihak kami juga telah pun memberikan beberapa maklumat berasaskan fakta material yang sangat penting berkaitan kes ini kepada polis agar satu siasatan lanjut lebih menyeluruh dibuat bagi memastikan sama ada wujud sebarang niat jahat, cubaan dan salah laku jenayah berkaitan penipuan atau apa-apa kesalahan lain,” kata kenyataan itu, hari ini.

Pihak peguambela Mawar juga mengesahkan dia tidak hadir satu penghakiman pada 11 Januari lalu di Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi, dan telah menfailkan untuk mengenepikan penghakiman ingkar kehadiran dan permohonan pergantungan pelaksanaan terhadapnya  pada hari ini. 

“Untuk makluman, penghakiman ingkar kehadiran ini adalah suatu bentuk penghakiman yang diperintahkan tanpa kehadiran di mahkamah. 

Berkenaan dengan status kebankrapan Mawar, kenyataan itu mengesahkan dia belum bankrap setakat hari ini.

“Kami mengesahkan bahawa setakat hari ini 18 April 2022, dia masih lagi seoranf yang tidak bankrap. 

“Tiada sebaran notis kebankrapan yang telah diserahkan kepada Mawar setakat hari ini,” katanya. 

Minggu lalu, media melaporkan Mawar  dikatakan bakal berdepan dengan tindakan pengisytiharan bankrup, sekiranya gagal untuk melunaskan hutang yang dipinjam olehnya daripada seorang sahabat.

Mawar, 33, dikatakan membuat pinjaman daripada seorang rakan kenalan, Nabil Mat Yahya atas tujuan modal memulakan perniagaannya. – Malaysiapost

Komen