Kes Bella: Baru sekarang Rina nak muncul

Kes Bella: Baru sekarang Rina nak muncul

DATUK Seri Rina Harun menjadi sasaran kritikan netizen kerana baru sekarang bertindak pro aktif berhubung kes penderaan remaja sindrom down yang dikenali sebagai Bella.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dikecam netizen kerana secara tiba-tiba menjadi sangat prihatin terhadap Bella, 14, susulan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedia menawarkan khidmat peguam secara percuma bagi mendapatkan keadilan kepada remaja perempuan itu.

Kecaman netizen boleh dilihat menerusi klip video Sinar Harian di Facebook yang memaparkan menteri itu melawat Bella di sebuah hospital, ditemani wartawan dan jurugambar.

“Kes Bella menjadi tumpuan sejak Julai 2021, sudah sembilan bulan. Apa yang kamu buat ketika itu?” kata seorang warganet.

“Ia bukan hanya Bella, adakah kamu faham? Kamu mempunyai kuasa untuk memastikan kanak-kanak selamat, adakah kamu melakukan apa-apa?” kata seorang lagi netizen.

Semalam, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati bagi kes Bella, penghuni Rumah Bonda yang didera.

Tambah menjelikkan netizen, susulan kenyataan Tunku Ismail, Rina mengalu-alukan tawaran itu dan berkata beliau akan memberi taklimat kepada Tunku Ismail mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kementerian berhubung perbicaraan itu.

Sementara itu di laman Twitter, Rina menjadi kecaman netizen selepas memaparkan gambar-gambar beliau melawat Bella, bersama media baru-baru ini.

Pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Hartini Zainudin dalam ciapannya berkata, menteri itu hanya melibatkan diri selepas kes penderaan remaja 13 tahun itu menarik perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

“Saya tidak tahu apa motifnya, tetapi pastinya nampak seperti berlumba-lumba untuk menunjukkan bahawa beliau melakukan sesuatu dalam kes penderaan Bella. Menteri itu cuba mencari publisiti, l” katanya di Twitter.

Hartini menegaskan Rina telah hilang kebolehpercayaan sebagai seorang menteri yang menjaga kebajikan kanak-kanak rentan kerana langkah itu dilihat “kurang ikhlas” dan “hipokrit”, dan meminta beliau “berhenti bergambar”.

Prosiding mahkamah kes penderaan Bella sedang berjalan dan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi. -Malaysiapost

Komen