Kolej Tingkatan 6 pertama di Kelantan dibina – Radzi Jidin

Kolej Tingkatan 6 pertama di Kelantan dibina – Radzi Jidin

KOLEJ Tingkatan 6 yang pertama di Kelantan akan dibina Bukit Cina, sempadan di antara Ketereh dan Machang, Kelantan.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pembinaan kolej itu akan dapat memberi peluang kepada anak-anak Kelantan untuk mengikuti pendidikan peringkat lepasan menengah di premis Kolej Tingkatan 6 yang lengkap.

Menurutnya, ketika ini terdapat 23 Kolej Tingkatan 6 yang sedang beroperasi di seluruh negara dan kini negeri Kelantan juga bakal mempunyai Kolej Tingkatan 6 pertama dengan premis dan pentadbiran sendiri.

“Kolej yang dilengkapi dengan 20 bilik darjah serta kemudahan lain ini akan dibina di kawasan Bukit Cina, sempadan di antara Ketereh dan Machang.

“Terletak di lokasi yang strategik berhampiran jalan utama yang menghubungkan Kota Bharu dan Gua Musang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, pastinya pembinaan kolej berkenaan dapat terus memacu kecemerlangan pendidikan negara melalui penyediaan infrastruktur pendidikan yang lebih baik demi anak-anak generasi pewaris negara, khususnya di Kelantan.

“Selesai tinjauan pengoperasian sekolah di enam buah sekolah di Kelantan semalam, saya juga sempat singgah di tapak pembinaan kolej ini.

“Terima kasih kepada pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan yang memberikan taklimat,” katanya. – Malaysiapost

Komen