Pecat Muhyiddin TPM: Najib ingatkan Wan Fayhsal jangan menipu bulan puasa

Pecat Muhyiddin TPM: Najib ingatkan Wan Fayhsal jangan menipu bulan puasa

DATUK Seri Najib Razak membidas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang didakwa melakukan propaganda serta penipuan berhubung isu pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinetnya.

Najib berkata, beliau sudah menjelaskan sebelum ini, bahawa pemecatan Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah kerana Ahli Parlimen Pagoh itu berkomplot dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhiz Mahathir sejak 2014 untuk menumbangkannya.

“Dia dipecat sebagai Timbalan Menteri saya pada bulan Julai 2015 sebab dalam kabinet dia cakap lain, luar kabinet dia cakap lain.

“Bulan posa ini pun PPBM (Bersatu) mahu teruskan propaganda menipu? Dia (Wan Ahmad Fayhsal) kata Muhyiddin dipecat sebab 1MDB,” katanya dalam hantaran Facebook.

Mempersoalkan tuduhan itu, Najib menyenaraikan beberapa episod pengkhianatan yang didakwa dilakukan Muhyiddin termasuk terhadap Tun Abdullah Badawi dan Raja-raja Melayu.

“Dia (Muhyiddin) tikam belakang Pak Lah sebab 0MDB? Dia tikam belakang Najib sebab 1MDB? Dia tikam belakang Mahathir sebab 2MDB? Dia derhaka pada Raja-raja Melayu sebab 3MDB?

“(Jawapannya) Tidak. Dia khianat Pak Lah, dia jadi Timbalan Perdana Menteri. Dia khianat saya tapi tidak berjaya jadi Perdana Menteri.

“Dia khianat Mahathir, dia jadi Perdana Menteri. Dia derhaka Raja-raja Melayu sebab mahu kekalkan jawatan Perdana Menteri.

“Sehingga Raja-raja Melayu mengeluarkan titah bersama bahawa Darurat tidak boleh dilanjut dan parlimen perlu bersidang,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, Muhyiddin memutuskan untuk mengantung Parlimen dalam tempoh lama demi memastikan beliau tidak ditumbangkan.

“Wan Ahmad Fayhsal mungkin terlupa bahawa (PKP) separuh masak antara paling panjang tempoh dalam dunia sehingga Malaysia satu-satu saja negara dalam dunia yang gantungkan Parlimen begitu lama.

“Dengan alasan Covid sebab dia (Muhyiddin) tidak mahu buka Parlimen untuk elak ditumbangkan? Rekod dia apa?,” soalnya.

Semalam, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara menerusi Facebooknya, mengingatkan Najib jangan menyamakan Muhyiddin dengan dirinya.

Jelasnya, Muhyiddin mempunyai maruah dan membayar dengan harga mahal menolak untuk bersekongkol dengan jenayah skandal 1MDB dalam Kabinet Najib. – Malaysiapost

Komen