Polis tumpas sindiket penipuan tawaran kerja online

Polis tumpas sindiket penipuan tawaran kerja online

POLIS berjaya melumpuhkan sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dengan penahanan empat lelaki dalam dua serbuan di sekitar Seri Kembangan, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner, A Anbalagan, berkata keempat-empat suspek berkenaan berusia lingkungan 20 hingga 26 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat penipuan tawaran kerja sambilan atas talian, sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Komersil telah membuat dua serbuan pada jam 2.10 petang, semalam.

Menurutnya, serbuan pertama dibuat di satu unit Kondominium Jalan Dagang SB, The Mines Resort City dan serbuan kedua di satu unit Kondominium di Jalan Akasa, Cheras Selatan, Seri Kembangan, Selangor.

“Dalam serbuan pertama, pihak polis menahan empat lelaki berusia antara 20 hingga 26 tahun dan merampas lima unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua set dokumen SSM, satu rangkai anak kunci bersama kad akses.

“Seterusnya, polis membuat serbuan di sebuah kondominium yang dijadikan tempat beroperasi kegiatan penipuan tawaran kerja sambilan yang tidak wujud di Cheras Selatan dan berjaya merampas tiga unit komputer riba pelbagai jenama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Anbalagan, sindiket berkenaan berperanan menjalankan aktiviti pusat panggilan (calling centre) penipuan tawaran kerja dalam talian yang menyasarkan warganegara asing khususnya Singapura dan Australia.

“Mereka dipercayai berperanan sebagai operator pusat panggilan untuk mencari mangsa sejak bulan Januari 2022.

“Sindiket ini menggunakan akaun bank Australia dan Singapura untuk semua transaksi pembayaran,” katanya.

Beliau berkata, sindiket itu juga mengunakan aplikasi Telegram dan Whatsapp sebagai medium perhubungan untuk perdayaan di antara mereka dengan mangsa.

Katanya, hasil daripada kegiatan penipuan tersebut menjana keuntungan sebanyak RM150,000 sebulan.

“Kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek ini direman empat hari bermula hari ini hingga 21 April ini untuk siasatan.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, suspek boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda,” katanya. – Malaysiapost

Komen