Umno Putrajaya tak tumpu isu Tun Faisal – Mohd Hishamudin

Umno Putrajaya tak tumpu isu Tun Faisal – Mohd Hishamudin

MESYUARAT Umno Bahagian Putrajaya kelmarin tidak tertumpu kepada isu penggantungan bekas Timbalan Ketua bahagiannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz semata-mata.

Sebaliknya mesyuarat berkenaan lebih banyak membincangkan perkara demi kesejahteraan penduduk dan kakitangan awam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu, kata Ketua Penerangan Umno Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya.

Menurutnya, agenda utama Umno bahagian berkenaan sejak ditubuhkan lebih 20 tahun lalu adalah memastikan kehidupan warga Putrajaya semakin baik.

“Betul ada mesyuarat semalam (kelmarin), kami membincangkan banyak perkara dan kami terima laporan daripada biro-biro bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan mesyuarat berjalan seperti biasa.

“Tun Faisal dapat maklumat dari mana? Kalau rasa dia tak bersalah buat apa nak takut bukankah dia cakap dia sentiasa di pihak yang benar, jadi buat apa kelam kabut tunggu sajalah keputusan rayuan dia,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Hisamudin berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Tun Faisal kononnya 

Umno Putrajaya tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Rayuan Lembaga Disiplin parti itu dan mahu mengambil langkah susulan bagi memastikan beliau dipecat.

Tun Faisal yang digantung keahliannya itu mendakwa Ketua Umno Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kurang senang dengan keputusan lembaga disiplin.

Beliau mendakwa menerima maklumat daripada mereka yang hadir dalam mesyuarat berkenaan bahawa Tengku Adnan tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Rayuan Lembaga Disiplin.

Mohd Hisamudin menegaskan, adalah lebih baik memberi tumpuan dalam membantu rakyat yang kini terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Lebih baik parti menambah baik program untuk membantu penduduk menghadapi kehidupan yang lebih mencabar ketika dilanda wabak Covid-19,” katanya. – Malaysiapost 

Komen