Ada 1000 Bella dalam kehidupan – Ahmad Zahid

Ada 1000 Bella dalam kehidupan – Ahmad Zahid

KES penderaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down, Bella yang hangat diperkatakan kini, mendedahkan mengenai masalah struktural yang serius dalam aspek perlindungan kepentingan hak kanak-kanak di Malaysia.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berpendapat sesuatu yang radikal dan berkesan perlu segera dilaksanakan untuk mengelakkan kes sedemikian dari menjadi semakin membarah.

Menurutnya, kejadian pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang dialami adik Bella bukanlah sesuatu yang baru kerana telah banyak berlaku insiden sama di pusat jagaan kanak-kanak sepertinya termasuk ada kes yang kezalimannya tak terjangkau oleh akal.

“Saya mengikuti dengan rapat perkembangan berkaitan dengan kes penderaan adik Bella yang sedang hangat dibualkan mutakhir ini.

“Saya akui, sebagai seorang ayah kepada lima orang anak, penderitaan yang dialami adik Bella benar-benar meruntun hati saya dan saya sangat berharap beliau mendapat pembelaan dan keadilan yang sebaik-baiknya.

“Tetapi bukanlah tempatnya untuk saya bercakap berkenaan kes ini dan adalah lebih baik untuk terus yakin dengan kebijaksanaan institusi kehakiman dalam memberi keadilan yang sewajarnya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, mempersoalkan mengenai sampai bila isu kebajikan dan perlindungan kanak-kanak sedemikian akan dipandang serius.

Menurutnya, sebagai seorang Ahli Parlimen, beliau akan melakukan apa-apa sahaja yang terdaya untuk memastikan perkara berkenaan tidak berulang.

“Sebagai Presiden parti terbesar di Malaysia yang menunjangi kerajaan, saya akan pastikan ini dijadikan agenda besar parti.

“Mana-mana kajian atau pengamatan yang dijalankan oleh pihak aktivis kanak-kanak atau institusi seperti UNICEF, MAPC, MCRI dan sebagainya kebanyakannya cenderung menunjukkan walau bagaimana hebat dan sempurna sekali pun dasar yang digubal dalam Akta Kanak Kanak 2001, aspek yang paling penting adalah pengawasan dan penguatkuasaan.

“Aspek inilah adalah yang terlemah sekali keberkesanannya! Contohnya, sehingga kini masih belum ada penyelesaian yang tuntas dalam mengekang operator-operator beroperasi tanpa lesen. Malah ia semakin berleluasa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pada 1995, Kerajaan telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak sebagai komitmen dalam memastikan kanak-kanak di Malaysia mendapat hak untuk menjalani kehidupan yang baik, selamat dan bermaruah.

“Adik Bella, dengan segala keperitan dan penderitaannya telah membuka mata seluruh rakyat dan ini tidak boleh diabaikan lagi. Kita semua mahu Adik Bella terbela, tetapi tidak sedar bahawa mungkin terdapat 1000 Adik Bella di luar sana yang perlu pembelaan.

“Isu adik Bella menunjukkan ada manusia semakin mati rasa, dari segi kesedaran, tindakan dan tanggungjawab.

“Jika kita tidak mengambil usaha yang lebih serius untuk mendepani isu ini, maka kita yang sebenarnya telah menggagalkan anak-anak dan masa depan negara kita,” katanya. – Malaysiapost

Komen