Hayati peristiwa turunnya al-Quran – Sultan Selangor

Hayati peristiwa turunnya al-Quran – Sultan Selangor

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menyeru seluruh umat Islam agar terus menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa turunnya kitab suci al-Quran sempena Hari Nuzul al-Quran hari ini.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah al-Quran bukan sahaja untuk dibaca bahkan ia perlu difahami dan dihayati kerana di dalamnya terkandung banyak khazanah ilmu yang sangat bernilai.

“Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca bahkan ianya perlu difahami dan dihayati kerana didalamnya terkandung banyak khazanah ilmu yang sangat bernilai yang hanya dapat diperolehi dengan cara mentadabbur atau memahami ayat-ayatnya.

“Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia,” titah baginda.

Titah baginda lagi, sudah terbukti, dalam menyelesaikan sebarang permasalahan termasukl pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, pembinaan sosial juga kelestarian budaya, al-Quran adalah tunjang dan dasar dalam memastikan setiap tindakan dipasak dengan nilai agama.

Baginda turut mengingatkan muslimin dan muslimat sentiasa menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dan mengambil pengajaran daripada isi kandungannya yang telah mengangkat Islam sebagai sebuah agama yang lengkap bersifat rahmat, selamat, adil, sederhana dan toleransi untuk kehidupan manusia seluruhnya.

Dalam perkongsian itu, Baginda berdua turut berkenan mengabadikan gambar kenangan di ruang solat utama, Masjid Istana Diraja yang terletak bersebelahan dengan Istana Alam Shah, Klang.

Masjid berkenaan juga adalah ilham dan idea dari Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri dan telah mula dibina di atas tapak Balai Musolla dan Balai Nobat pada 2009 dan siap pada 2011.

Ia kini diimarahkan oleh kakitangan Istana dan juga penduduk setempat bagi penganjuran aktiviti-aktiviti dan majlis-majlis agama. – Malaysiapost

Komen