KPLB meriahkan Ramadan warga Kuala Lipis

KPLB meriahkan Ramadan warga Kuala Lipis

PROGRAM memasak bubur lambuk perdana anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya diadakan di Kampung Tempoyang, Kuala Lipis, hari ini.

KPLB dalam satu kenyataan, memaklumkan program gotong royong membuat bubur lambuk berkenaan diadakan atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama KPLB.

Menurutnya, ia juga diadakan dengan kerjasama Masjid Sayidina Ali Bin Abi Talib, Kampung Tempoyang dan Parlimen Lipis.

“Objektif program ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat terutamanya di luar bandar sambil berkongsi rezeki bersama golongan memerlukan sempena bulan yang penuh keberkatan ini,” kata kenyataan itu.

Bertempat di Masjid Sayidina Ali Bin Abi Talib, sebanyak 4,000 bekas bubur lambuk dimasak dan disediakan secara bergotong royong oleh ahli jawatankuasa masjid serta sukarelawan daripada KPLB dan Harian Metro bermula seawal jam 7.30 pagi.

Bubur lambuk itu akan diagihkan kepada penduduk sekitar Kuala Lipis, surau berhampiran, agensi kerajaan serta jemaah yang berbuka puasa di masjid berkenaan.

Program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri I KPLB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long; Adun Cheka, Lee Ah Wong dan Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit. – Malaysiapost

Kredit foto : UKK@KPLB

Komen