Rafizi dibidas dakwa PKR sukar pertahankan Selangor pada PRU15

Rafizi dibidas dakwa PKR sukar pertahankan Selangor pada PRU15

KETUA Penerangan PKR Selangor Halimey Abu Bakar membidas telahan Rafizi Ramli bahawa Pakatan Harapan (PH) dan PKR bakal menghadapi cabaran berliku untuk mempertahankan Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Beliau berkata, telahan bekas Naib Presiden PKR itu seolah-olah memperkecilkan kemampuan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga daripada PKR mentadbir negeri paling kaya di Malaysia itu. 

“Yang duduk dalam Jemaah Menteri kerajaan negeri… kami yang diamanahkan, kami tahulah, kami yang berusaha keras untuk memastikan kerajaan negeri kekal dalam PRU akan datang. Kami yang faham.

“Saya harap Rafizi tumpukanlah kempen dia untuk bertanding timbalan presiden (PKR)… tentang kerajaan negeri, itu tanggungjawab kami yang menjaganya,” katanya dipetik FMT.

Halimey mengulas dakwaan Rafizi baru-baru ini mengenai kepimpinan PKR yang masih terlena terhadap isyarat rakyat pada beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN). 

Ia susulan kekalahan teruk PKR pada PRN Melaka, Sarawak dan terbaharu di Johor bulan lalu. 

Rafizi juga menzahirkan kebimbangan jika para pemimpin PKR terus ‘tidur’ kemungkinan besar parti itu akan kehilangan Selangor pada PRU15 nanti. 

Jelas Halimey, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah mengakui bahawa kepimpinan Amirudin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua sebagai antara yang terbaik.

Beliau berkata ini bukti bahawa Amirudin mampu membantu PH mengekalkan Selangor untuk penggal keempat berturut-turut.

“Di Selangor, InsyaAllah kita boleh kekalkan tetapi dengan syarat semua kena buat kerja. Kalau dulu kita buat kerja sekali ganda, tapi kali ini kita kena buat kerja dua kali ganda sebab rakyat akan lihat apa yang kita boleh bantu mereka,” katanya.

Halimey yang juga Adun Seri Setia berkata, PH juga akan menerima manfaat dalam PRU15 sekiranya Akta Anti-Lompat Parti diluluskan.

“Selagi Akta Anti-Lompat Parti tidak diluluskan, selagi itu rakyat tak keluar mengundi. Maknanya rakyat sendiri tak letak kepercayaan kepada calon sebab mereka rasa kalau calon ini menang mereka boleh lompat.

“Pada PRU akan datang, kalau akta ini diluluskan InsyaAllah rakyat akan keluar undi kerana yakin dan percaya dengan PH terutama di Selangor,” katanya.

Sementara itu, Halimey menyelar tindakan Rafizi mempersoalkan pendekatan menyatukan mana-mana parti lain dalam “khemah besar pembangkang” bagi menghadapi PRU15 akan datang.

“Kita atas arahan presiden (Anwar), presiden bersama pimpinan PH yang buat keputusan untuk adakan khemah besar atau tak, bukan Rafizi yang buat keputusan. Kalau Rafizi menang (timbalan presiden) sekali pun, bukan kuasa dia nak tentukan khemah besar atau khemah kecil, presiden PKR yang tentukan,” katanya. – Malaysiapost

Komen