TMJ cadang 3 perkara kepada Rina, pastikan penderaan seperti Bella tidak berulang

TMJ cadang 3 perkara kepada Rina, pastikan penderaan seperti Bella tidak berulang

UNTUK memastikan kes penderaan kanak-kanak sindrom down dikenali sebagai Bella tidak berulang, undang-undang bagi Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dipinda segera

Perkara tersebut dititahkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mencadangkan penambahbaikkan dilakukan merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan.

“Penambahbaikan undang-undang semasa seperti Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan dengan segera yang mana ia haruslah merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan.

“Ini adalah bagi memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam,” titahnya menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya, hari ini.

Difahamkan, cadangan berkenaan adalah buah fikiran baginda selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Wakil Pertubuhan Antarabangsa UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex di Royal Johor Club di Johor, hari ini.

Menerusi pertemuan itu, Tunku Ismail juga turut mencadangkan dua lagi saranan yang sesuai bagi meningkatkan lagi tahap kawalan bagi melindungi kanak-kanak yang berada di rumah lindungan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta.

“Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram,” katanya.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut mencadangkan agar kerajaan segera membuat kajian mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak yang mana boleh bermula di pusat-pusat jagaan kanak-kanak di Negeri Johor.

“Kajian ini harus bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF atau institusi-institusi bebas lain dan kajian tersebut didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Tunku Ismail juga ingin menegaskan bahawa kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik.

Kes penderaan yang dialami Bella itu mulai mendapat perhatian rakyat Malaysia sejak awal bulan lalu.

Simpati dengan kesengsaraan Bella, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) di mahkamah. – Malaysiapost

Komen