352 tahanan yang melarikan diri berjaya ditahan semula

352 tahanan yang melarikan diri berjaya ditahan semula

SERAMAI 352 tahanan imigresen yang merusuh dan melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Sementara di Relau, Kedah awal pagi tadi sudah berjaya ditahan semula.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata susulan itu pihak berkuasa kini berusaha mengesan dan menahan semula 176 lagi tahanan yang masih lolos.

Menurutnya, secara keseluruhan tahanan di depoh berkenaan adalah seramai 664 orang dan selepas kejadian rusuhan yang berlaku seramai 528 tahanan meloloskan diri.

“Walaubagaimanapun tindakan cepat dan maklumat yang diterima daripada pihak Imigresen dan pihak polis Bandar Baharu serta polis Seberang Prai Selatan. Selain bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan IPK Pulau Pinang, kita telah menjalankan operasi pencarian bersama orang awam dan berjaya menemui semula 352 tahan yang lolos termasuk enam yang meninggal dunia akibat kemalangan.

“Seramai 176 tahanan masih belum dapat dikesan untuk sementara waktu ini dan polis telah membuat Op Tutup di jalan-jalan tertentu membabitkan empat sekatan jalan raya (SJR) di Seberang Prai Selatan, empat lagi di Bandar Baharu dan lima di Kulim,” katanya dalam sidang media Khas di IPK Kedah hari ni.

Beliau berkata, Polis Kedah dan Pulau Pinang juga menjalankan Op Cantas bersama untuk mengesan saki baki tahan yang meloloskan diri.

Menurutnya, susulan kejadian itu berlaku kemalangan semasa pendatang asing tanpa izin (PATI) berkenaan melarikan diri dengan cuba melintas lebuh raya berhampiran depoh tahanan terbabit iaitu kira-kira 7 kilometer (km) sahaja.

“Terdapat kemalangan jiwa membabitkan enam tahanan meninggal dunia setakat ini iaitu dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan,” katanya.

Beliau berkata, kes rusuhan dan melarikan diri dari tahanan kini disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan disiasat Polis Kedah, manakala kes kemalangan maut pula disiasat Polis Pulau Pinang.

“IPK Kedah juga menubuhkan pasukan siasatan khas untuk mengendalikan kes ini dan menjalankan siasatan secara terperinci termasuk mengambil keterangan 13 pegawai dan anggota yang terbabit bagi mengenalpasti apa punca kejadian.

“Setakat ini punca rusuhan belum dikenalpasti, namun berdasarkan siasatan awal memang terdapat kesan umpil dan pecah di kawasan pintu utama pusat tahanan terbabit dan juga di kawasan tahanan wanita,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang melihat tahanan yang melarikan diri itu supaya memaklumkan kepada pihak polis.

“Tahanan yang masih lolos dipercayai mungkin ada yang menumpang kenderaan untuk melarikan diri dan orang ramai diminta memaklumkan mengenainya kepada pihak polis untuk polis membuat tangkapan semula,” katanya. – Malaysiapost

Komen