528 tahanan etnik Rohingya di Depot Sungai Bakap lolos – JIM

528 tahanan etnik Rohingya di Depot Sungai Bakap lolos – JIM

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan seramai 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, kumpulan tahanan itu bertindak memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang sebelum melarikan diri kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

“Mereka melarikan diri setelah memecahkan pintu blok dan grill penghadang.

“Pegawai-pegawai bertugas telah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) dengan menghubungi PDRM dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sehingga jam 10 pagi tadi seramai 362 tahanan telah berjaya ditangkap semula dan gerakan mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan.

“Gerakan mencari dan menangkap tahanan yang lari sedang giat dijalankan dengan kerjasama dari PDRM, RELA dan orang ramai.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keberadaan tahanan yang lari ini dipohon supaya memaklumkan kepada pihak JIM atau PDRM,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, seramai 700 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di depot dilaporkan melarikan diri awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kumpulan PATI itu dilihat keluar beramai-ramai dari depot terbabit oleh penduduk tempatan.

Difahamkan, semua tahanan itu di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, namun ditempatkan di depot tahanan sementara berkenaan sebelum urusan penghantaran pulang dilakukan.

Berikutan itu, operasi menahan semula semua tahanan terpaksa dilakukan JIM yang turut mendapat bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, Kedah dan IPD Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. – Malaysiapost

Komen