6 tahanan Rohingya larikan diri maut kemalangan

6 tahanan Rohingya larikan diri maut kemalangan

ENAM tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang, awal pagi tadi maut dalam nahas jalan raya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata tahanan itu maut ketika melintas di Kilometer 165 Lebuh Raya Utara Selatan.

Katanya, mereka yang maut itu terdiri daripada dua lelaki dewasa dan dua wanita dewasa dan masing-masing seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki.

Beliau berkata, kemalangan itu telah membantutkan hasrat 229 tahanan lain untuk melintas lebuh raya berkenaan lalu menyusuri laluan sepanjang lebuh raya itu.

“Orang ramai yang melihat kelibat mereka telah menghubungi polis dan tangkapan dibuat di sini,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shuhaily berkata, jumlah tahanan yang melarikan diri ialah 528 daripada 663 tahanan Rohingya yang ditempatkan di depot itu.

Pada masa ini, polis sedang mengesan 205 lagi tahanan Rohingya dan operasi buruan ini memerlukan sumber tenaga yang besar.

“Kita juga mendapat bantuan daripada sekumpulan anak muda, orang kampung yang telah menahan 88 orang tahanan ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen