Biar rakyat dan ahli Umno menilai sendiri ‘laporan risikan’ – Ahmad Zahid

Biar rakyat dan ahli Umno menilai sendiri ‘laporan risikan’ – Ahmad Zahid

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada rakyat dan ahli Umno untuk menilai sendiri ‘laporan risikan’ dipercayai dibuat pemimpin-pemimpin PAS seperti yang bocor dan tular di media sosial sejak kelmarin.

Beliau juga berpendapat pendedahan melalui dokumen sulit dokumen sulit “Laporan Political Engagement PAS Pusat” yang tular di media sosial terutama membabitkan ‘Conclusion No. 6’ itu adalah ketentuan Tuhan.

“Perancangan Manusia dan Perancangan Allah. Terpulanglah kepada rakyat dan ahli Umno menilainya sendiri.

“Saya berserah hanya kepada Allah, dan tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya yang Maha Agung lagi Maha Kuasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendedahan dokumen sulit berkenaan yang tular di media sosial terutama membabitkan ‘Conclusion No. 6’.

Terdahulu veteran Umno Tan Sri Shahrir Samad memuat naik dokumen berkenaan di laman Facebooknya yang mendedahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara setuju untuk percepatkan kes mahkamah dan hukuman terhadap Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Menurut TSMY dalam urusan mahkamah Zahid dan Najib, AG dan CJ setuju membantu percepatkan kes dan jatuh hukum.” – Conclusion No. 6, Laporan Political Engagement PAS Pusat.

“Ini adalah sedutan dari apa yang dikatakan adalah ‘laporan risikan’ pemimpin-pemimpin PAS bagi tujuan menyediakan pilihan atau ‘option’ untuk strategi PAS berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kalau betul apa yang terdedah itu adalah pendapat ‘TSMY’, maka ianya membayangkan sudah berlakunya satu konspirasi dan pakatan haram antara pemimpin politik dengan AG (Peguam Negara) dan CJ (Ketua Hakim Negara),” kata Shahrir

Menurut Shahir, jika apa yang tersebar itu betul, maka sudah berlaku kerosakan sistem ‘judiciary’ dan kehakiman negara.

“Pendedahan laporan risikan politik PAS ini sudah lama berlaku. TSMY ada dipetik inginkan perbicaraan disegerakan. AG, seperti biasa, diam seperti….(gunakan apa sahaja perkataan yang sesuai tapi jangan tuliskannya)

“CJ? Dulupun dah buat laporan polis tapi umum tidak mengetahui hasil siasatan sama ada sahih atau tidak serta tindakan terhadap mereka yang mengaku ‘bisa diatur’ keputusan hakim. Judiciary? Sudah biasa buat laporan polis pun.

“Saya? Tunggu je kalau ada penafian dan laporan polis terhadap pendedahan laporan risikan ini,” katanya.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya Perdana Menteri boleh bertanya kepada Peguam Negara mengenai dakwaan berkenaan dan sama ada betul sudah ada ‘kolusi’ di antara pemimpin politik dengan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara.

“Tak susah sebenarnya kalau nak cari kebenaran dalam hal ni,” katanya. – Malaysiapost

Komen