Qunut Nazilah demi Palestin

Qunut Nazilah demi Palestin

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan masjid dan surau di seluruh negara untuk melaksanakan bacaan doa Qunut Nazilah ketika solat sunat witir bagi mendoakan keselamatan dan keamanan Palestin.

Ketua Pengarahnya Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata umum mengetahui konflik di Palestin berlangsung sejak sekian lama dan kini Masjid Al-Aqsa diceroboh lagi ketika umat Islam sedang memberi tumpuan beribadah di bulan Ramadan yang mulia.

“Justeru, Jakim mengambil inisiatif melalui masjid-masjid utama jabatan ini iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk melaksanakan bacaan doa Qunut Nazilah semasa solat sunat witir setiap malam bermula malam ini khusus untuk keselamatan dan keamanan di bumi Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA LAGI: 22 lagi rakyat Palestin cedera, Israel rempuh Masjid Al-Aqsa kali kedua

Sehubungan itu, Hakimah juga memohon kerjasama dan jasa baik Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh Malaysia untuk turut sama mengadakan bacaan doa Qunut Nazilah di semua masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing.

“Jakim juga menyeru seluruh Keluarga Malaysia untuk sama-sama terus berdoa agar negara Malaysia sentiasa kekal aman, makmur dan sejahtera,” katanya. – Malaysiapost

Komen