Suspek tetak empat ahli keluarga ditahan

Suspek tetak empat ahli keluarga ditahan

SUSPEK kes tetak empat sekeluarga ketika menunggu waktu berbuka di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili, Kota Tinggi pada Khamis lalu, akhirnya berjaya ditangkap polis, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, tangkapan dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan IPD Kulai.

Menurutnya, lelaki berusia 38 tahun itu dikesan di Jalan Persiaran Indahpura 4 di Kulai dan ditangkap pada jam 11.50 pagi.

“Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussin berkata, suspek akan direman bermula esok hingga 27 April depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

BACA LAGI: 4 sekeluarga parah ditetak ketika tunggu berbuka puasa

Pada Sabtu lalu, media melaporkan suspek yang bekerja di ladang nanas mengamuk dan menetak isteri, ibu mentua dan dua adik iparnya ketika menunggu waktu untuk berbuka puasa menggunakan parang sebelum melarikan diri.

Dua lagi anak suspek yang berusia 5 tahun dan 2 bulan bagaimanapun selamat dan tidak mengalami kecederaan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Sinar Harian

Komen