Tarikat: ARG sedia berdiskusi dengan Ustaz Rozaimi

Tarikat: ARG sedia berdiskusi dengan Ustaz Rozaimi

UNIT Penyelidikan Ahlussunah Wal Jamaah Research Group (ARG) sedia berdiskusi secara ilmiah berhubung isu Tarikat Nashsyabandiah Al-Aliyya Syeikh Nazim Al-Haqqani anjuran Dr Rozaimi Ramle.

Menerusi kenyataan di laman Facebook, ARG memberitahu pihaknya lebih tertumpu kepada diskusi ilmiah dengan mereka yang terbuka menerima tawaran secara jelas, jujur dan terang.

“ARG sekali lagi menegaskan tidak pernah menolak dialog, sebaliknya wahabi yang berdolak dalik dan sentiasa ada agenda main belakang untuk bermain persepsi.

“Menumpukan kepada suatu diskusi bukan bererti menolak diskusi yang lain. Kegopohan wahabi dalam memahami teks (walaupun biasa berlaku) adalah sangat menyayat hati hingga Dr Rozaimi buat drama di posting-posting beliau yang lain dengan mengulang-ulang ARG lari dialog,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu juga berkata pendakwah bebas Abu Syafiq telah bersetuju berdiskusi dengan ARG.

“Sukacita dimaklumkan ARG telah menghubungi Jabatan Mufti Negeri Sembilan untuk kerjasama menganjurkan diskusi ilmiah dan sudah bersetuju pada minggu ke 3 bulan syawal (Bulan Mei 2022),” katanya.

Kenyataan itu juga mengulangi pendirian bersetuju dengan dialog anjuran Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bertajuk ‘Pemikiran Syaikh Nazim al-Haqqani Menurut Ahlu Sunnah wal Jamaah’.

Katanya, tajuk tersebut telah diusulkan Rozaimi dalam kenyataannya sebelum ini. – Malaysiapost

Komen