14,306 kuota jemaah haji Malaysia tahun ini

14,306 kuota jemaah haji Malaysia tahun ini

KUOTA Haji Malaysia yang diterima daripada kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 14,306 orang atau 45 peratus berbanding 31,600 dari kuota tahunan yang biasa diterima sebelum ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata selain Malaysia, peratusan sama juga terpakai buat semua negara lain.

Menurutnya, kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan seramai satu juta jemaah bagi musim haji tahun ini atau 40 peratus daripada 2.5 juta jemaah pada tahun 2019.

“Dalam pada masa sama, kerajaan Arab Saudi menetapkan 85 peratus dari satu juta ini adalah merupakan jemaah luar.

“Ini lebih tinggi dari tahun 2019 di mana jemaah dari luar Arab Saudi hanya 75 peratus,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.

Tambah Idris, pada tahun ini, jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berumur bawah 65 tahun, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 serta perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam dari masa berlepas.

“Justeru, bagi pihak kerajaan Malaysia, saya menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan pengumuman ini dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Tabung Haji (TH) kini giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah Malaysia ke Tanah Suci setelah dua tahun tertangguh kerana pandemik Covid-19.

“Saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengarahkan Tabung Haji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia,” katanya.

Idris berkata, TH akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat. Bakal jemaah yang terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera.

“Bakal jemaah juga dinasihatkan bersedia dengan dokumen berkaitan terutamanya passport.

“Semua jemaah haji Malaysia perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin Covid-19 apabila dipanggil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa yang ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen