Agong, Permaisuri, zahir ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Ali Hamsa

Agong, Permaisuri, zahir ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Ali Hamsa

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada perkhidmatan awam dan negara,” menurut kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergiaan Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat perkhidmatan awam dan negara.

Allahyarham yang berasal dari Kluang, Johor dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13 bermula tahun 2012 hingga 2018 dan telah menabur bakti di pelbagai Kementerian dan Jabatan kerajaan.

Ucapan takziah juga dizahirkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya.

Sementara itu, Perda Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Mewakili Keluarga Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, Allahyarham adalah bekas Ketua Setiausaha Negara dari tahun 2012 hingga 2018 dan seorang tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan.

“Allahyarham telah menabur jasa dan bakti selama berkhidmat dan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah ,” katanya. -Malaysiapost

Komen