Artis pukul bekas isteri direman 2 hari

Artis pukul bekas isteri direman 2 hari

SEORANG artis lelaki yang juga penyanyi sebuah kumpulan terkenal tanah air direman dua hari bagi membantu siasatan kerana disyaki memukul dan mencederakan bekas isterinya.

Perintah reman bermula semalam itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Hairol Azhar Mohd Ishak di Mahkamah Majistret, Petaling Jaya hari ini.

Peguam mewakili artis berusia 45 tahun itu, Kailash Hsarma, berkata lelaki terbabit berkemungkinan akan dituduh di mahkamah esok, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.

“Polis memohon reman selama empat hari, namun ia dikurangkan kepada hanya dua hari.

“Dia berkemungkinan besar akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya, esok,” katanya kepada seperti dilapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, Kailash berkata, anak guamnya itu berada dalam keadaan sihat, termasuk dari segi emosi.

“Mengenai tuduhan itu, saya difahamkan dia turut membuat laporan polis, malah ada berpesan agar kesalahannya hanya boleh ditentukan oleh proses undang-undang,” katanya.

Semalam, media melaporkan artis tersebut ditahan polis, kerana disyaki memukul dan mencederakan bekas isterinya di sebuah kediaman di Kota Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata tangkapan itu dibuat selepas polis menerima aduan daripada bekas isteri suspek berusia 27 tahun. – Malaysiapost

Komen