Bot nelayan langgar syarat sah lesen ditahan Maritim Malaysia

Bot nelayan langgar syarat sah lesen ditahan Maritim Malaysia

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B kira-kira 1.7 batu nautika barat Segari, semalam kerana didapati melanggar syarat sah lesen.

Bot berkenaan ditahan pada jam 9.15 malam bersama tiga kru warga tempatan termasuk tekong.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata tangkapan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di perairan negeri Perak.

“Ketika ditahan, bot itu dikendalikan tiga kru warga tempatan termasuk tekong yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada 5 batu nautika seperti syarat sah lesen.

“Bot dan kru serta hasil tangkapan yang dianggarkan lebih kurang 100 kilogram (kg) itu kemudian diiringi ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BACA LAGI: 21 bot nelayan asing dihalau TLDM

Menurutnya, sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999. – Malaysiapost

Komen