Daftar segera tahanan pelarian dengan UNHCR

Daftar segera tahanan pelarian dengan UNHCR

Mohamed Khaled Nordin

INSIDEN ratusan tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Pulau Pinang sehingga maut dalam nahas lebuh raya adalah sesuatu yang mendukacitakan.

Kerajaan mesti segera melakukan siasatan komprehensif dan telus serta mengumumkan dapatan siasatan itu kepada awam.

Insiden melarikan diri, protes dan rusuhan di pusat tahan immigrasi bukanlah sesuatu yang baru.

Ia terus berulang dan mungkin berpunca daripada masalah kesesakan di dalam blok tahanan, tempoh tahanan yang lama dan terhadnya kemampuan sumber Kerajaan dalam pengurusan pusat sedemikian.

Penahanan berterusan dan lama, tanpa kejelasan tentang kesudahan terhadap nasib dan masa depan mereka adalah pelanggaran hak asasi manusia.

BACA LAGI: RUU Anti Lompat Parti usaha luar biasa

Ia juga adalah pembaziran kepada wang rakyat apabila semua ini melibatkan pembiayaan Kerajaan sepenuhnya.

Sebagai anggota Majlis Hak Asasi PBB bagi penggal 2022 hingga 2024, Malaysia mesti menunjukkan iltizam untuk mengurus dasar-dasar berkaitan pelarian dengan lebih telus, bertanggungjawab dan bersandar keselamatan insan.

Tahanan baru mesti segera didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Mereka yang telah berdaftar dan mempunyai kad, mestilah segera dibebaskan.

Tanpa perlu mengimport jutaan pekerja tidak berkemahiran melalui pelbagai MOU yang merumitkan, kumpulan pelarian ini boleh kita benarkan untuk bekerja.

Ini akan membantu mereka membangun kemahiran, membiayaai kehidupan sendiri dan mengurangkan beban Kerajaan.

Kerjasama erat dengan UNHCR mesti dipertingkatkan agar mereka boleh segera di pindahkan ke negara penerima dan memulakan kehidupan baru di negara- negara tersebut.

Ramadhan yang Kareem dan Mubarak ini harus menjelmakan ihsan dan kemanusiaan kita kepada mereka yang mencari perlindungan di negara ini tanpa berkompromi dengan kepentingan keselamatan nasional.

Penulis ialah Naib Presiden Umno
(Artikel ini dipetik dari hantaran Facebook penulis)

Komen