Kabinet setuju teruskan projek LCS – Hishammuddin

Kabinet setuju teruskan projek LCS – Hishammuddin

MESYUARAT Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) diteruskan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata keputusan itu dibuat Kabinet selepas mengambil kira dua faktor utama.

“Pertama, LCS adalah aset yang amat dimahukan dan diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bukan sahaja untuk memenuhi perancangan pemodenan TLDM di bawah Transformasi 15 to 5 malah penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada kita serta menambah baik usaha memelihara kepentingan maritim negara.

“Saya percaya keputusan hari ini dapat meningkatkan lagi moral dan semangat anggota TLDM untuk terus berjuang demi kedaulatan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, faktor kedua adalah terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek berkenaan dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion.

“Lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia dengan 90 peratus ada hubung kait dengan veteran. Majoriti mereka berada di Lumut terutama pekerja berkemahiran/pakar/ahli keluarga mereka.

“Jadi keputusan ini sebahagian daripada usaha membela kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), isteri anak serta ahli keluarga mereka ,” katanya.

Hishammuddin berkata, dengan keputusan itu tiada lagi persoalan sama ada perolehan LCS akan diteruskan atau tidak dan kini pihak berkepentingan boleh bergerak kehadapan dan fokus untuk menjayakannya.

Menurutnya, paling penting setiap mekanisma penambahbaikan dicadangkan Jawatankuasa Khas Kabinet, harus dilaksanakan sebaik mungkin dan komitmen lebih besar adalah memastikan segala isu ketirisan sebelum ini tidak berulang

“Keputusan Kabinet ini hanyalah peringkat permulaan yang baik. Namun, terdapat beberapa lagi langkah ke hadapan untuk melengkapkan Pelan Pemuliharaan antaranya ‘Proses Mobilisasi’ dalam tempoh enam bulan mendatang.

“Ini akan melibatkan rundingan antara bank, vendor dan pengeluar peralatan asli (OEM) serta kerajaan Perancis membabitkan reka bentuk dan komitmen kerajaan negara terbabit,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa sama, agensi lain yang berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga digesa untuk mempercepatkan peranan masing-masing bagi memastikan setiap proses yang perlu dilalui berjalan lancar.

“Kabinet akan menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

“Jawatankuasa ini ditugaskan memantau secara dekat terutama proses dalam tempoh enam bulan mendatang dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet setiap bulan,” katanya.

Hishammuddin juga menegaskan keputusan meneruskan projek LCS tidak bermakna pihak yang terlibat salah laku dalam projek sebelum ini akan terlepas begitu sahaja.

“SPRM menahan reman dua CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) sebelum ini dan SPRM juga digesa untuk mempercepatkan siasatan.

“Siapa jua yang bersalah pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya sambil menambah perincian lanjut mengenai bagaimana projek itu diteruskan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Malaysiapost

Komen