Konflik Rusia-Ukraine: Malaysia senada dengan Jepun – PM

Konflik Rusia-Ukraine: Malaysia senada dengan Jepun – PM

MALAYSIA dan Jepun bersetuju dalam isu konflik Rusia-Ukraine, bahawa pencerobohan sesebuah negara kepada mana-mana negara berdaulat yang lain adalah tidak wajar dan patut dikecam sekeras-kerasnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu dimaklumkan dalam perbualan telefonnya bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, semalam.

Menurutnya, antara perkara yang telah dibincangkan dalam perbualan itu adalah berkenaan isu konflik Rusia-Ukraine.

“Saya dan TYT Kishida bersetuju bahawa pencerobohan sesebuah negara kepada mana-mana negara berdaulat yang lain adalah tidak wajar dan patut dikecam sekeras-kerasnya.

“Dalam hal ini, Malaysia menyokong proses dialog dan rundingan yang berasaskan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut memaklumkan pendirian Malaysia sebagai salah satu ahli ‘Non Aligned Movement’ (NAM), Malaysia kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana negara yang berkonflik.

“Mengenai sekatan terhadap Rusia, saya menegaskan sekatan terhadap mana-mana negara mesti dilakukan dengan keputusan Majlis Keselamatan PBB dan tidak secara unilateral.

“Saya juga menegaskan kuasa besar perlu memberikan fokus kepada isu pelarian warga Ukraine yang kini sudah melebihi empat juta orang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kishida juga telah menjemputnya bagi menghadiri Nikkei Conference di Tokyo pada Mei ini. – Malaysiapost

Komen