MB yakin Puad, Samsolbari adil, saksama kendali sidang DUN Johor

MB yakin Puad, Samsolbari adil, saksama kendali sidang DUN Johor

MENTERI Besar Johor percaya kebolehan dan pengalaman luas dimiliki Speaker dan Timbalan Speaker yang baharu akan membolehkan mereka mengendalikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan baik.

Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau juga yakin Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang dilantik Speaker DUN yang baharu bersama timbalannya, Datuk Samsolbari Jamali akan melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara adil dan saksama.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak mengetepikan segala perbezaan fahaman dan ideologi politik untuk bersama-sama memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Jadikanlah dewan yang mulia tempat untuk berbahas dengan tuntas dan baik demi kesejahteraan Bangsa Johor. Semoga semua usaha kita diberkati dan dirahmati Allah SWT,” katanya hari ini.

Terdahulu Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, dilantik Speaker DUN Johor dan mengangkat sumpah jawatan hari ini.

BACA LAGI: Onn Hafiz jamin tunaikan janji manifesto

Pencalonan Mohd Puad dikemukakan Onn Hafiz pada sesi Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor ke-15.

Mohd Puad, 64, menggantikan Suhaizan Kaiat dari Amanah yang memegang jawatan itu sejak 2018 hingga awal tahun lalu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu. – Malaysiapost

Komen