Menteri Luar Brunei lawat Malaysia

Menteri Luar Brunei lawat Malaysia

MALAYSIA menerima lawatan kerja Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua Brunei Darussalam, Datuk Seri Erywan Pehin Mohd Yusof selama tiga hari bermula semalam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan susulan lawatan itu Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya itu.

Pertemuan itu bagi menyusul kerjasama dua hala yang telah dibincangkan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Brunei pada 14 dan 15 Februari lalu.

“Lawatan kerja ini adalah bersempena dengan penganjuran Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Malaysia-Brunei Darussalam berkenaan sempadan darat.

“Jawatankuasa Bersama ini merupakan mekanisme penting dalam hubungan istimewa di antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

BACA LAGI: Malaysia-Brunei setuju laksana VTL

Menurut Wisma Putra, pelaksanaan Mesyuarat Pertama itu mempamerkan komitmen berterusan Malaysia dan Brunei ke arah memuktamadkan persempadanan darat sejak kedua-dua negara menjalinkan kerjasama dalam hal ehwal sempadan darat pada 2012.

“Datuk Seri Erywan juga dijadual akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein,” katanya.

Pada 2021, Brunei merupakan rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan RM8.03 bilion (USD1.87 bilion), iaitu peningkatan ketara sebanyak 70.4 peratus berbanding nilai direkodkan pada 2020. – Malaysiapost

Komen