Percepat hukuman penjara Najib, Zahid, PAS perlu beri penjelasan

Percepat hukuman penjara Najib, Zahid, PAS perlu beri penjelasan

UMNO Kelantan mendesak PAS memberi penjelasan susulan isu pendedahan beberapa dokumen tular, dikatakan tercatat di dalam Laporan Political Engagement PAS Pusat.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata pihaknya amat terkejut terhadap beberapa isi kandungan laporan tersebut.

Laporan itu antaranya menyebut untuk memastikan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak, dikenakan hukuman penjara dengan mempercepat perbicaraan mereka.

Kandungan lain juga menunjukkan rancangan untuk mengenakan tuduhan ke atas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi mengaitkannya dengan gelaran Kluster Mahkamah.

“Pendedahan ini menunjukkan adanya campur tangan dalam kes rekaan yang sedang dihadapi dua pemimpin utama Umno sekali gus akan memberi gambaran PAS dan BERSATU berniat jahat dengan mencampuri sistem perundangan negara dengan cara kotor.

BACA LAGI: Minit mesyuarat PN tular: PAS nafi atur gerakan jatuhkan Umno

“Sekiranya perkara ini tidak benar, PAS Pusat perlu segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan tuntas dijalankan kerana ia melibatkan nama baik institusi kehakiman dan perundangan negara yang perlu dipertahankan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, jika pendedahan itu benar, ia perkara yang amat memalukan negara apabila suatu komplot pemusnahan karekter jahat dan kotor dibuat oleh gabungan Perikatan Nasional di dalam bulan Ramadan yang mulia. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Jazlan Yaakub

Komen