Wang menang saman NFC akan ‘dipulang’ kepada rakyat – Rafizi

Wang menang saman NFC akan ‘dipulang’ kepada rakyat – Rafizi

BEKAS Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memberi jaminan akan menyerahkan semua wang diperolehnya hasil kemenangan dalam kes saman National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) kepada orang ramai.

Beliau berkata, wang tersebut akan ‘dipulangkan’ kepada rakyat dalam bentuk biasiswa dan bantuan kecil untuk perniagaan.

“Saya nak sahkan bahawa semua jumlah yang mahkamah putuskan perlu dibayar oleh NFC kepada saya (kerana kalah dalam saman ini) akan dipulangkan kembali kepada rakyat dalam bentuk biasiswa dan bantuan perniagaan kecil,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan rayuan NFC dan Pengerusinya, Mohamad Salleh Ismail dalam samannya terhadap Rafizi berhubung dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan.

Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed berkata, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR, berjaya membangkitkan pembelaan komen berpatutan untuk mengalahkan saman itu.

BACA LAGI: Rafizi dibidas dakwa PKR sukar pertahankan Selangor pada PRU15

Rafizi yang diwakili oleh Razlan Hadri Zulkifli dan Ranjit Singh turut dianugerahkan kos RM70,000 manakala NFCorp dan Salleh diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Salleh memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi pada 2013, selepas beliau mendakwa Salleh dan NFCorp menggunakan pinjaman kerajaan RM71 juta sebagai cagaran untuk membeli hartanah di KL Eco City.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata beliau mula mendedahkan skandal NFC dalam tahun 2011.

“Ada tiga kes yang dibawa terhadap saya – dua kes saman, masing-masing oleh Tan Sri Sharizat Jalil (ditarik balik) dan NFC (menang); dan satu kes jenayah (pertuduhan di bawah BAFIA) yang akhirnya saya menang juga.

“Saya ucapkan terima kasih kepada peguam-peguam saya dan orang ramai yang bersama selama 11 tahun ini. Saya akan menulis dengan lebih panjang dalam 1-2 hari ini,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Rafizi Ramli

Komen