3 RnR jadi tumpuan pegawai, anggota bomba

3 RnR jadi tumpuan pegawai, anggota bomba

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang sudah mengenalpasti tiga hentian rehat dan rawat (RnR) bagi menempatkan pegawai dan anggotanya sepanjang cuti Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengarahnya, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, lokasi berkenaan ialah RnR Genting Sempah, Temerloh dan Gambang.

“Seramai tujuh pegawai dan anggota bersama jentera akan ditempatkan di RnR terbabit bagi memastikan mempercepatkan tempoh ‘respon time’ jika berlaku kecemasan.

“Mereka akan berada di RnR itu secara berkala, mengikut jadual ditetapkan bermula 25 April hingga 9 Mei ini,” katanya dalam sidang media di Kuantan, petang tadi.

Terdahulu, Wan Mohammad Zaidi hadir pada majlis Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Raya Sempena Aidilfitri 2022 yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Norolazali Sulaiman.

Mengulas lanjut mengenai tahap kesiapsiagaan pegawai dan anggota JBPM Pahang, beliau berkata, tumpuan operasi dan rondaan sempena cuti Aidilfitri tidak hanya dilakukan di sepanjang Lebuh raya Pantai Timur (LPT) semata.

“Kita turut menggerakkan aset bersama pegawai dan anggota melakukan rondaan rutin di laluan jalan persekutuan sepanjang tempoh perayaan dan ini adalah perkara biasa kita buat setiap kali perayaan.

“Secara umumnya, pegawai dan anggota kita sentiasa bersedia untuk ditugaskan bagi memastikan keselamatan orang ramai dapat dipantau dan diberikan bantuan segera sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Mengulas mengenai isu membabitkan bangunan di Pahang yang terdedah dengan risiko kebakaran pula, Wan Mohammad Zaidi berkata, setakat ini pihaknya sudah melakukan 311 pemeriksaan di bangunan yang terdapat di negeri ini.

“Sebahagian besar (pemeriksaan) dilakukan di hotel dan pasar raya kerana premis ini adalah paling penting diberi keutamaan dalam aspek keselamatan memandangkan keduanya menjadi tumpuan orang ramai.

“Bagi meningkatkan kesedaran terhadap bahaya kebakaran pula, JBPM Pahang menjalinkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) melalui kempen secara bergerak ke kawasan tumpuan orang ramai, bangunan pejabat kerajaan dan swasta,” katanya. – Malaysiapost

Komen