5,899 kes baharu Covid-19 semalam

5,899 kes baharu Covid-19 semalam

JUMLAH kes baharu harian Covid-19 di Malaysia yang dilaporkan semalam adalah sebanyak 5,899 kes, sekaligus menjadikan 4,415,101 kes kumulatif sejak wabak berkenaan melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu berkenaan kes import adalah sebanyak 16 kes membabitkan lapan warganegara dan lapan lagi bukan warganegara.

Menurutnya, kes tempatan pula adalah sebanyak 5,883 kes, membabitkan 5,664 warganegara dan 219 bukan warganegara.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 92 kes membabitkan 56 kes disahkan Covid-19; 36 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 61 kes membabitkan 34 kes disahkan Covid-19; 27 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” katanya.

BACA LAGI: Lebih satu juta kanak-kanak telah terima dos pertama vaksin Covid-19

Beliau berkata, daripada 5,899 kes harian yang dilaporkan semalam, Kategori 1 adalah 2,582 kes, Kategori 2 sebanyak 3,294 kes, manakala Kategori 3 adalah lapan kes dan Kategori 4 sebanyak 10 kes serta Kategori 5 membabitkan lima kes.

“Daripada 23 kes Covid-19 Kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan itu tujuh kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; dan 13 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

“Sebanyak tiga kes telah menerima dos penggalak, 13 kes berusia 60 tahun dan ke atas, manakala 13 kes mempunyai komorbid; dan satu kes kes ibu mengandung,” katanya.

Menurutnya, kes sembuh yang dilaporkan semalam adalah 8,434 kes menjadikan 4,291,447 kes kumulatif pesakit yang sembuh.

“Jumlah kluster direkodkan setakat ini adalah 7,000 kluster termasuk satu kluster dilaporkan semalam dan jumlah kluster yang telah tamat adalah 6,899 kluster, manakala sebanyak 101 kluster masih aktif,” katanya. – Malaysiapost

Komen