Agong, Permaisuri teruskan lawatan ke Melaka

Agong, Permaisuri teruskan lawatan ke Melaka

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini berada di Melaka lawatan ke negeri itu selama dua hari.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 11.20 pagi tadi disambut Yang di-Pertua negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abdul Rahman.

“Seri Paduka Baginda kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Selat, Melaka bersama kira-kira 1,000 jemaah diimamkan Ustaz Mohd Fezwan Mohamad dengan khutbah bertajuk ‘Memburu Kelebihan 10 Malam Terakhir Ramadan’.

“Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah juga dijadualkan berkenan mencemar duli mengunjungi bazar Ramadan Peringgit pada sebelah petang, sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Masjid Al-Azim, Bukit Palah,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menerima menghadap barisan kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

BACA LAGI: Netizen geli hati baca komik Eco Shop di ‘billboard’ lebuh raya

Kenamaan lain turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Kelmarin Seri Paduka Baginda berdua turut berangkat ke Kuching bagi lawatan ke negeri Sarawak selama dua hari.- Malaysiapost

Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

Komen