Bella tunjuk perubahan positif, luka kembali pulih – Rina Harun

Bella tunjuk perubahan positif, luka kembali pulih – Rina Harun

REMAJA perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella yang didakwa menjadi mangsa pengabaian dan penderaan kini dilaporkan sudah mula menunjukkan perubahan yang amat positif.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata keadaan Bella semakin baik dengan luka di badan yang dialaminya telah kembali pulih.

Menurutnya, keadaan emosi remaja terbabit juga semakin baik dan sudah tersenyum riang bila berbicara berbanding kali pertama beliau bertemu Bella pada Julai 2021.

“Alhamdulillah setelah sembilan bulan berada di dalam jagaan kami di tempat selamat, Adik Bella sudah mula menunjukkan perubahan yang amat positif. Adik Bella yang saya jumpa kali pertama sudah jauh berbeza dengan Adik Bella yang sekarang.

“Jangan tak tahu, berat badannya juga semakin bertambah kerana mendapat pemakanan berkhasiat.

“Adik Bella juga mempunyai bakat terpendam. Sangat suka mewarna dan melukis. Ini juga kami asah sebaik mungkin agar dapat mengisi ruang lapangnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berasa terharu atas sikap Keluarga Malaysia yang begitu prihatin terhadap nasib yang menimpa remaja terbabit yang mahukan pembelaan.

“Perbicaraan kes ini sedang berjalan. Mencuri perhatian dan tumpuan ramai rakyat Malaysia. Namun selain daripada keadilan yang dituntut apa yang paling penting bagi saya adalah kesejahteraan Adik Bella itu sendiri.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Apatah lagi bahu yang memikul hanya merupakan anak kecil yang masih tidak tahu erti sebenar kehidupan,” katanya.

Rina turut memohon maaf kerana sebelum ini jarang berkongsi mengenai Bella, kerana baginya apa yang lebih penting ialah kesejahteraan remaja itu sendiri.

“Sekarang dah boleh bergurau senda, melakukan pelbagai aktiviti dan bermain bersama rakan-rakan. Kami juga juga sentiasa memastikan rawatan susulan diberikan terhadap Adik Bella.

“Marilah kita bersama berdoa semoga urusan perbicaraan kes Adik Bella berjalan lancar dan sempurna. Sama sama kita doakan agar Adik Bella terus berada dalam keadaan sejahtera.

“Dalam masa yang sama, sebagai Keluarga Malaysia, kita perlu menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dan mendaulatkan undang-undang dengan menghormati perbicaraan. Insya-Allah segalanya akan menjadi lebih baik,” katanya. – Malaysiapost

Komen