Mawi tidak kisah dilabel ‘takut bini’

Mawi tidak kisah dilabel ‘takut bini’

PENYANYI Mawi mengakui tidak kisah jika disamakan dengan golongan ‘suami takut bini’ kerana selesa berterus terang dengan isterinya yang juga pelakon, Ekin.

Malah, juara Akademi Fantasia 3 (AF3) yang pernah mencetuskan fenomena pada tahun 2005 itu berkata akan memberitahu kepada Ekin setiap aktiviti harian termasuk kerjaya seninya.

“Maksudnya mana pergi pun, saya beritahu. Sebab itu saya tak malu kata takut bini. Saya rasa takut bini itu sebenarnya akan membahagiakan lagi,” kata Mawi memetik mStar.

Bagi pemilik nama sebenar Asmawi Ani, 40, dia percaya bahawa setiap hubungan suami isteri akan berdepan dengan ujian masing-masing.

Bagaimanapun, menurut Mawi sikap berterus terang dan terbuka dalam hubungan rumah tangga yang diamalkan dapat mengelakkan masalah tersebut menjadi kudis dan menjejaskan keharmonian.

“Masing-masing ada ujian la… yela, macam mana nak tempuh ujian itu. Saya pun melalui ujian rumah tangga, bukan orang ketiga ke apa. Tapi ujian rumah tangga.

“Ujian rumah tangga ini besar, bukan gangguan orang ketiga saja. Dalam rumah tangga ini, kita kena terus terang, dengan pasangan ini tak boleh simpan-simpan.

“Bila simpan-simpan ini, boleh jadi sangsi dan bersangka buruk. Apa saja kita buat, kena terus terang. Saya cuba amalkan benda itu la,” katanya.

Mawi berkahwin dengan isterinya Nora Asikin Rahmat atau Ekin pada 20 Disember 2008 dan dikurniakan cahaya mata perempuan Cahaya Malaika, 10. – Malaysiapost

Komen