PKR mahu RUU Anti Lompat Parti dikuat kuasa sebelum PRU15

PKR mahu RUU Anti Lompat Parti dikuat kuasa sebelum PRU15

PKR mahu Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kerajaan perlu membentangkan RUU berkenaan secepat mungkin.

Beliau berkata, penegasan itu dinyatakan beliau sebagai mewakili PKR dalam mesyuarat Jawatankuasa Parlimen mengenai Akta Anti Lompat Parti semalam.

“Saya hadir menyampaikan pandangan PKR dan Pakatan Harapan (PH).

“Pertama memberi input kepada Jawatankuasa ini untuk dimasukkan ke dalam RUU yang akan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Kedua mahukan RUU ini dibentang secepat mungkin dan mesti sebelum sesi persidangan Julai 2022 untuk dikuatkuasa sebelum PRU15,” katanya hari ini.

Saifuddin berkata, beliau seterusnya akan memberi taklimat kepada semua Ahli Parlimen PKR mengenai hasil mesyuarat itu supaya mereka sentiasa mendapat maklumat terkini.

“Ini memudahkan mereka mengambil bahagian dalam perbahasan nanti,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen