Ramai yang terpegun melihat ketabahan Najib – Shahrir Samad

Ramai yang terpegun melihat ketabahan Najib – Shahrir Samad

VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Samad berpendapat kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya selepas 22 bulan memerintah adalah kerana kegagalan gabungan itu sendiri.

Menurutnya, PH terlalu percaya kepada propaganda sendiri sehingga menjejaskan kebolehan mereka untuk mengurustadbir negara.

Pandangan itu dikongsikan Shahrir ketika ditemubual oleh media CNA yang bertanyakan tentang politik negara semenjak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Pendek kata, kerajaan PH jatuh kerana kelemahan sendiri dan ini menjadi punca kekalahan mereka secara bersiri di pilihanraya-pilihanraya kecil yang berlaku selepas PRU-14.

“Ia bukannya konspirasi Umno, tapi kejayaan politik Umno itu telah mencetuskan konspirasi dikalangan pemimpin-pemimpin PKR dan Bersatu untuk tinggalkan kerajaan PH,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

BACA LAGI: Pecat Muhyiddin TPM: Najib ingatkan Wan Fayhsal jangan menipu bulan puasa

Menurutnya, Pelan A adalah untuk Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri ketika itu, tetapi beliau ingin menubuhkan ‘kerajaan perpaduannya’ sendiri.

“Ia tidak diterima oleh Bersatu serta bekas PKR. Maka, berlakulah Pelan B, dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Shahrir berkata, beliau turut ditanya mengenai bagaimana bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh kekal popular dengan penjenamaan baharunya, ‘Bossku’ termasuk disambut dengan meriah semasa kempen pilihan raya.

“Jawapan saya mudahnya. Ramai yang terpegun melihat ketabahan Najib berdepan dengan berbagai tuduhan di berbagai mahkamah dan juga dakwaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), beliau kena bayar cukai berbilion ringgit.

“Satu keluarga terkena tekanan. Tambah pula dengan tuntutan sivil! Ianya ‘overkill’, saya kata. Dan bila ‘overkill’, boleh membawa kepada perasaan kesian – ‘sympathy’ – dan boleh bertukar kepada ’empathy’,” katanya.

Shahrir Samad di temu bual CNA.

Beliau berkata, laman Facebook (FB) Najib juga telah membawa pandangan dan penjelasan darinya tanpa sekatan atau suntingan seperti berlaku di media arus perdana.

“Mereka yang ikut halaman FB Najib adalah kerana fakta dan hujahan munasabah di halaman itu. Sehingga ia lebih berkesan dari bercakap dalam Dewan Rakyat.

“Kerana di dalam dewan itu, walaupun Parlimen ialah institusi tertinggi demokrasi, tapi pelbagai pihak boleh berpakat untuk memperlekehkan hujahan Najib,” katanya.

Menurutnya, selain itu ramai yang merasa secara langsung manfaat dari kepimpinan Najib dan Barisan Nasional (BN) sebelum PRU-14 dan mereka tahu masa itu lebih baik dari masa selepas PRU-14.

“Terlalu banyak peninggalan Najib yang bermanfaat kepada rakyat yang tidak dapat dilupuskan oleh Tun Mahathir, DAP dan PKR atau oleh PN (Perikatan Nasional) sendiri. Sebab itu, ramai yang mengenang jasanya.

Shahrir berpendapat, keadaan itu membantu Umno dan BN kerana pendirian Najib yang tetap bersama parti serta menjadi inspirasi kepada ahli-ahli parti apabila melihat seorang pemimpin yang sedang ‘dilanyak’ begitu hebat tetapi tetap bersemangat mempertahankan parti.

“Tak sepatah pun meminta pertolongan dari parti tapi tanpa sepatah tetap menolong parti,” katanya. – Malaysiapost

Komen