Gerak tari, busana tak hormat lagu Hari Raya – Adam Corrie

Gerak tari, busana tak hormat lagu Hari Raya – Adam Corrie

PELAKON Adam Corrie Lee Abdullah, 53, tampil menyuarakan rasa tidak senang melihat persembahan penari lelaki yang beraksi kurang sopan dalam sebuah klip video lagu raya nyanyian seorang usahawan terkenal.

Corrie yang juga koreografer terkemuka memaklumkan seharusnya penari yang terlibat dalam klip video tersebut sudah faham dengan budaya dan sensitiviti masyarakat negara ini.

“Saya sebagai senior choreographer tarian tak setuju dengan gerak tari dan busana yang tak menghormati Lagu Hari Raya.

“Jika kita faham maksud Hari Raya AidilFitri, kita tak akan mencemar kemulian Hari Raya Aidilfitri.

“Walaupun ia hanyalah sebuah lagu.. Jika Kita nak buat sesuatu kena tahu niat asal kita,” katanya dalam hantaran Facebook.

Sebelum ini, usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri menerima kecaman netizen selepas tampil dengan lagu raya baharu nyanyiannya dengan aksi beberapa penari lelaki yang dikatakan agak keterlaluan.

Dalam video itu, penari dengan aksi lincah disamping Aliff mengenakan baju Melayu berserta songkok dan memakai singlet.

Sementara itu, Corrie turut menasihatkan koreografer dan penari agar mengkaji terlebih dahulu lagu yang diberikan agar ianya bersesuaian sebelum memulakan tarian.

Katanya, sebagai penari yang terlibat dalam sesebuah tugasan adalah berhak untuk bersuara kepada pelanggan sekiranya ia sesuai ataupun tidak.

“Jika anda seorang yang ada ilmu dan tahu tanggungjawab sosial dalam pekerjaan dan masyarakat. Jangan sampai orang pandang rendah dengan kerjaya kita sebab kita tak hormati dan jaga sensitiviti semua pihak,” ujarnya. – Malaysiapost

Komen