Kerajaan bakal umum kelonggaran pemakaian pelitup muka?

Kerajaan bakal umum kelonggaran pemakaian pelitup muka?

“TUNGGU minggu depan,” demikian ringkas jawapan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika ditanya mengenai kelonggaran pemakaian pelitup muka.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran program mQUIT di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin di Putrajaya semalam.

Menurut laporan Bernama, Khairy juga mengingatkan semua pihak supaya tidak leka dan mengambil iktibar daripada negara lain.

“Saya ingin mengingatkan semua bahawa kita masih berada dalam fasa peralihan dan perlu sentiasa mematuhi segala SOP dan langkah kesihatan awam sepertimana kita jalani selama dua tahun.

“Ada negara anggap mereka sudah mencapai kemenangan dan segala sekatan serta langkah pencegahan dibuang. Akhirnya mereka berdepan gelombang demi gelombang jangkitan baharu.

“Biarlah kita lambat sedikit asalkan selamat dan janganlah kita mengulangi kesilapan negara lain,” katanya.

Isnin lalu, Khairy dilaporkan berkata beliau akan mengumumkan perkara berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, minggu depan.

Spekulasi berhubung kelonggaran pemakaian pelitup muka dikuatkan lagi dengan kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, semalam.

Zuraida memberi bayangan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan tetapi pilihan selepas sambutan Aidilfitri.

“Saya boleh buka ‘mask’ (pelitup muka) kan? Tak apalah, selepas raya pun dah optional (pilihan),” katanya dipetik Sinar Harian.

Kelmarin, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru bekata SOP fasa peralihan ke endemik yang bermula 1 April lalu masih berkuat kuasa dan pemakaian pelitup muka diwajibkan di tempat awam.

Susulan itu katanya, PDRM masih meneruskan kompaun jika terdapat mana-mana pihak melanggar SOP berkenaan di bawah peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp satu edaran dengan kepala surat bertarikh 20 April meminta pegawai kanan dan pegawai rendah polis mengambil maklum SOP terkini dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Antara makluman dalam edaran itu adalah tiada lagi saman akan dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, bagaimanapun pasukan pemantau hendaklah memberi nasihat agar orang ramai memakai pelitup muka. – Malaysiapost

Komen