PASLeak: Khaled, Isham bidas Annuar Musa

PASLeak: Khaled, Isham bidas Annuar Musa

DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin membidas kenyataan bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berhubung kandungan PASLeak.

Naib Presiden Umno itu berkata, soalnya sekarang semua pihak mahu mengetahui status sebenar PASLeak yang tersebar itu.

Dalam ciapan terbaharu di laman Twitter, Mohamed Khaled membangkitkan kedudukan sebenar adakah kandungan PASLeak sahih atau palsu.

“Itu bukan soal biasa atau luar biasa, soalnya betul atau tidak,” ciapnya.

Terdahulu, Annuar menyifatkan dokumen ‘PasLeak yang tersebar di media sosial baru-baru ini tidak memiliki elemen yang luar biasa hingga memerlukan semua pihak memperbesarkan isu tersebut.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, penelitian terhadap dokumen berkenaan didapati tidak terdapat perancangan dibuat oleh golongan tertentu seperti digembar-gemburkan beberapa pihak ketika ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil mempersoalkan kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu yang didakwa lebih mempertahankan parti lain berbanding parti sendiri.

“Dokumen tiada elemen luar biasa konon. Iyalah, bukan nama kamu yang dikomplot untuk dijatuhkan dan disumbat dalam penjara, bolehlah kamu cakap senang.

“Yang kamu nak back up sangat parti lain yang ingin jatuhkan pemimpin parti kamu sendiri itu dah kenapa? Janganlah jadi pengkhianat dan setialah kepada parti,” kata Isham di Facebook miliknya, hari ini. – Malaysiapost

Komen