Program Ziarah Kasih ceriakan Ramadan di Lipis

Program Ziarah Kasih ceriakan Ramadan di Lipis

PROGRAM Ziarah Kasih Parlimen Lipis yang dijalankan sepanjang Ramadan ini bertujuan menyampaikan bantuan berbentuk bakul makanan kepada golongan memerlukan di seluruh kawasan dalam Parlimen itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I merangkap Ali Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata program yang dijalankan setiap tahun itu dinanti-nantikan masyarakat setempat.

Ini kerana katanya, program itu melibatkan kerjasama agensi-agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), penghulu-penghulu mukim, ketua kampung dan Jawatankuasa Umno Bahagian Lipis.

Menurutnya, program itu dimulakan sejak awal Ramadan dan akan menemui
kemuncaknya pada hujung minggu ini.

“Jumlah keseluruhan bantuan yang diberikan melibatkan 72 kampung bernilai RM170,000 dan memberi manfaat kepada lebih 1,700 penduduk dalam kawasan Parlimen Lipis.

“Saya berharap agar bantuan diberikan sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada masyarakat setempat terutama golongan memerlukan menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma tiba.

“Sebagai umat Islam sudah tentu kita akan menyambut Aidilfitri sebagai tanda kemenangan setelah sebulan mengerjakan ibadat berpuasa.

“Semua pihak sudah tentu merindukan amalan kunjung mengunjung ke rumah sanak saudara sambil menikmati juadah hidangan,” katanya.

Abdul Rahman turut mengingatkan perantau yang akan pulang ke kampung agar berhati-hati memandu. – Malaysiapost

Komen