Sidang tergempar OIC kutuk kekejaman Israel Isnin ini

Sidang tergempar OIC kutuk kekejaman Israel Isnin ini

MESYUARAT khas peringkat jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) bagi membincangkan keganasan terbaharu Israel di Masjidil Aqsa akan diadakan Isnin ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, mesyuarat itu bakal berlangsung di pejabat sekretariat OIC di Jeddah, Arab Saudi.

“Mesyuarat ini adalah antara usaha kita untuk mendesak Israel menghentikan segera tindakan keganasan ke atas umat Islam.

“Mereka hanya ingin beribadat di Masjidil Aqsa, kita tidak mahu peristiwa tahun lalu berulang, tahun lalu (keganasan) berpanjangan hingga ramai yang terbunuh.

“Kita tahu penindasan Israel ini berjalan (untuk tempoh) panjang, tapi hentikan dulu yang ini, hentikan dulu apa yang sedang berlaku ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sebelum majlis berbuka puasa bersama golongan orang kelainan upaya (OKU) Parlimen Indera Mahkota, di Kuantan, hari ini.

Turut serta kira-kira 100 golongan OKU hadir pada majlis itu.

Mengulas lanjut mengenai mesyuarat tergempar berkenaan, Saifuddin berkata ia akan disertai wakil tetap negara anggota OIC dan Malaysia akan diwakili Duta Malaysia di Arab Saudi.

“Kita harap mesej utama kita yang mahu keganasan Israel dihentikan segera diterima pada peringkat mesyuarat itu kelak.

“Selain itu, kita juga mahu negara OIC dan masyarakat dunia melabelkan tindakan Israel ini seperti sebuah negara apartheid,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kematian pelajar tahun tiga di sebuah universiti di Alexandria, Egypt akibat penyakit tuberculosis (TB) semalam, Saifuddin berkata, jenazah Husna Solehah Mohd Salleh sudah dikebumikan di Kaherah, hari ini.

Katanya, semua urusan pengebumian pelajar jurusan pergigian berusia 22 tahun yang berasal dari Kelantan itu dilakukan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di negara terbabit. – Malaysiapost

Komen