15 kawasan mengalami gangguan bekalan air

15 kawasan mengalami gangguan bekalan air

GANGGUAN bekalan air tidak berjadual di 15 kawasan di Kuala Lumpur disebabkan kerja-kerja pembaikan paip pecah di rumah pam di Taman Muda, Cheras sedang dijalankan bermula 3 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata kerja-kerja pembaikan itu dijangka akan siap sepenuhnya pada jam 3:00 pagi esok.

“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan.

“Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elina berkata, Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mengamalkan pemakaian pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.

Tambahnya, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

“Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

“Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya. – Malaysiapost

Berikut senarai 15 kawasan yang terjejas :

  1. Bukit Permai Industri
  2. Kampung Cheras Baru
  3. Pandan Bistari
  4. Taman Bukit Pandan
  5. Taman Bukit Permai
  6. Taman Bukit Teratai
  7. Taman Mawar
  8. Taman Mega Jaya
  9. Taman Melur
  10. Taman Mestika
  11. Taman Muda
  12. Taman Pandan Mewah
  13. Taman Putra
  14. Taman Saga
  15. Taman Seraya

Komen