Jangan tertipu tawaran pakej taubat RM20

Jangan tertipu tawaran pakej taubat RM20

KERAJAAN akan mengesan kemunculan  kumpulan yang menawarkan pakej taubat dengan bayaran RM20 di media sosial. 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata siasatan itu perlu bagi mengesan mereka yang terbabit dengan pakej berkenaan untuk diambil tindakan.

Justeru, Idris berkata, Jabatan Agama Islam negeri diminta menyiasat kemunculan laman sosial yang menawarkan pakej taubat dengan bayaran RM20.

“Nak bertaubat kena bayar duit ini adalah tidak betul dan jika tidak mempunyai ilmu, kita mudah ditipu orang lain.

“Allah suruh kita mengajar dan belajar jadi orang berilmu kerana dengan adanya ilmu, kita tidak mudah ditipu,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau ditemui media pada Majlis Sumbangan Inspirasi Qaseh Ramadan dan Aidilfitri 1443 Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kepada 70 anak yatim di Kampung Sungai Petai, Changkat Jering di Bukit Gantang, semalam.

Idris diminta mengulas penyebaran iklan di laman media sosial mengenai pakej sesiapa yang ingin bertaubat dikenakan bayaran RM20. – Malaysiapost

Komen