Meluruskan salah fakta oleh Rafizi

Meluruskan salah fakta oleh Rafizi

Saifuddin Nasution Ismail

DALAM ucapan kempennya di Pulau Pinang, bagi menjawab persoalan kenapa beliau “bercuti’, Rafizi Ramli menyebut berkenaan “pertolongannya” kepada saya yang “tiada pekerjaan” setelah kalah pilihan raya umum 2013.

Juga memberi laluan kepada saya untuk menjawat Setiausaha Agung KEADILAN pada 2016. Saya ingin menjelaskan kedua-dua perkara tersebut.

Saya tewas kerusi Kulim Bandar Baharu pada pilihanraya 2013 dan memilih terus kekal di dalam KEADILAN dengan kedudukan sebagai Setiausaha Agung parti yang saya sandang sejak 2010 menggantikan Datuk Salahuddin Hashim.

Pada masa yang sama untuk menyara kehidupan saya berulangalik hampir setiap minggu ke Jakarta memenuhi undangan syarahan beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan institusi Pendidikan di sana. Bayaran upahnya tidaklah besar namun mencukupi untuk membiayai keperluan saya seisi keluarga dengan seorang isteri dan lima anak. Saya tidak menetap di Jakarta.

Pada pemilihan parti 2014, Rafizi terpilih Naib Presiden dan ikut dilantik sebagai Setiausaha Agung manakala saya kekal sebagai anggota Biro Politik. Saya terlibat membantu parti dalam kerja-kerja persediaan pilihan raya, mewakili parti dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat dan menjelajah seluruh negara memenuhi undangan anggota-anggota parti

Keadaan ini berterusan sehinggalah pada 2015, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali dipenjarakan setelah rayuannya ditolak dalam kes fitnah 2.0 dan pada tahun sama Pakatan Rakyat terbubar dengan penarikan diri Pas pada muktamar tahunannya yang berlangsung di Kuala Selangor. Saya mula mengurangkan tugasan di Jakarta untuk memberi lebih tumpuan kepada tugasan parti.

Pimpinan KEADILAN, DAP dan Amanah (lahir 16 September 2015) kemudiannya menubuhkan Pakatan Harapan pada 22 September 2015. Manakala kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak pula berdepan krisis dalaman gara-gara skandal 1MDB. Berlaku pemecatan beberapa pimpinannya dan membawa tertubuhnya parti BERSATU. BERSATU kemudian menyertai Pakatan Harapan.

Bahang pilihan raya semakin terasa. Saya ikut terlibat membantu parti dalam proses rundingan dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan dalam perkara agihan kerusi, persiapan manifesto, siri jelajah kempen ke seluruh negara. 

Rafizi dengan jawatan Naib Presiden, Setiausaha Agung dan Ahli Parlimen Pandan pula ketika itu sedang menghadapi beberapa kes mahkamah, termasuklah NFC.

Perbincangan kami berdua dengan Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail tertumpu bagaimana mengurangkan beban Rafizi yang terpaksa turun naik mahkamah dan pada masa sama tugasan parti tidak terjejas. Akhirnya Dr Wan Azizah melantik saya semula sebagai Setiausaha Agung pada 26 November 2016.

Pada tempoh sama Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dan saya kerap mengadakan perbincangan menyentuh isu-isu Melayu dan Islam khususnya bagaimana membetulkan persepsi salah terhadap kerajaan negeri. Beliau mempelawa saya untuk berkhidmat di sana dan dilantik sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri.

Saya kemudian mencadang pelantikan Ustaz Wan Ji Wan Husin sebagai Pegawai Khas di Pejabat ketua Menteri. Kedua-dua kami berganding bahu dan bekerjasama rapat dengan EXCO Agama Dato Abd Malik Kassim. Siri Kuliah, khutbah dan tazkirah menjadi saluran kami. Dialog dengan pimpinan masjid, surau dan persatuan-persatuan orang Melayu diadakan.

Saya kurang pasti kertas kerja apa yang disebut Rafizi yang memberikan saya jawatan di Pulau Pinang? Paling saya ingat Rafizi tidak pernah mempunyai hubungan baik dengan Lim Guan Eng, apa lagi untuk mencadangkan perlantikan saya melalui kertas kerja kepada kerajaan negeri.

Kesimpulan penjelasan ini adalah saya kalah pilihan raya 2013 dan tidak menetap di Jakarta sekadar berulang alik Kuala Lumpur Jakarta.

Selepas pemilihan parti 2014 , Rafizi menjawat Naib Presiden dan Setiausaha Agung. Hampir dua tahun selepas itu yakni November 2016 saya kembali dilantik oleh Dr Wan Azizah menggantikan Rafizi yang berdepan kes-kes mahkamah.

Rafizi kata dia beri laluan kepada saya. Laluan selepas dua tahun? Jawatan Penasihat Ketua Menteri pula yang saya pegang selama setahun, lebih kepada keperluan strategik ketika itu dan tidak ada kena mengena dengan Rafizi yang ingin “membantu“ sahabatnya yang “tidak ada kerja” selepas kalah pilihan raya.

Saya menganggap percubaan Rafizi menjawab isu “bercuti” suatu usaha yang baik. Saya pun tiada niat memanjangkan isu ini. Akhir sekali saya akan sentiasa menghormati Rafizi sebagai seorang sahabat seperjuangan.

Saya yakin pertandingan Timbalan Presiden ini tidak akan mencarikkan silaturrahmi. Biduk lalu kiambang bertaut. Selesai pemilihan ini ayuh kita berdua berganding bahu mempersiapkan parti mendepani pilihanraya ke 15 dengan tekad masuk untuk menang!
.
Penulis ialah Setiausaha Agung PKR dan calon Timbalan Presiden bagi pemilihan PKR 2022
(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan dipetik sepenuhnya dari hantaran Facebook Saifuddin Nasution Ismail)

Komen