Hakim boleh disiasat dan didakwa – Isham Jalil

Hakim boleh disiasat dan didakwa – Isham Jalil

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil membidas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Beliau menyifatkan, Hassan keliru apabila mendakwa tindakan terhadap hakim berkenaan sebagai serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman

Menurutnya, badan kehakiman adalah termasuk dalam perkhidmatan badan awam dan hakim juga adalah termasuk dalam pegawai badan awam.

“Dan dalam Akta SPRM pun disebut jika hakim terima rasuah, dia boleh disiasat dan didakwa. Ahli Parlimen pun sama.

“Dalam bahasa mudah, takkanlah bila hakim terima rasuah dia tidak boleh disiasat atau didakwa dan terlepas begitu sahaja sebab bila disiasat itu kononnya adalah ‘campur tangan’ eksekutif dalam kehakiman?

BACA LAGI: Pemuda Amanah gesa penyiasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan dihentikan

“Kalau ikut logik YB (Yang Berhormat) ini, adakah jika Ahli Parlimen disiasat rasuah maka itu adalah ‘campur tangan’ eksekutif ke atas Parlimen (legislatif) pula? Saya rasa YB keliru,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Isham berkata, sebaliknya, jika ada dakwaan rasuah, hakimlah yang sepatutnya perlu disiasat dengan lebih ketat dan terperinci untuk menjaga nama baik dan reputasi badan kehakiman negara.

“Sebab jika hakim terima rasuah atau membawa persepsi begitu, maka rakyat tidak akan percaya kepada hakim dan sistem kehakiman.

“Bila ini berlaku undang-undang akan menjadi sukar untuk ditegakkan dan kepercayaan rakyat untuk mendapat keadilan di mahkamah akan runtuh. Jika ini terjadi, negara akan jadi kucar kacir,” katanya.

Beliau berkata, mengikut perlembagaan, pembahagian kuasa antara tiga cabang kerajaan iaitu eksekutif, legislatif, dan kehakiman tidak tertakluk kepada hal-hal jenayah termasuk rasuah.

“Jika hakim bunuh orang, takkan polis tidak boleh siasat? Samalah jika hakim terima rasuah. Tiada siapa yang kebal dari undang-undang.

“Malah pembahagian kuasa ini dibuat dengan tujuan untuk menyemak-imbang antara satu sama lain, contohnya, jika eksekutif buat salah atau terkhilaf, kehakiman boleh semak; dan sebaliknya jika hakim terima rasuah, eksekutif boleh siasat.

“Takkan nak suruh hakim siasat diri mereka sendiri bila kawan mereka dituduh rasuah? Itu bukan kerja mereka dan ia tidak masuk akal,” katanya.

Isham turut menasihatkan Hassan supaya membaca mengenai perlembagaan dan pembahagian kuasa supaya tidak keliru serta mencadangkan beberapa buku mengenainya iaitu Locke, Montesquieu atau Dicey. – Malaysiapost

1 Comment

  • Mamsafa Majid

    UMNO buat tafsiran ikut akal sendiri. Bacalah & pahamlah dengan baik yang terkandong dalam Perlembagaan tentang Badan kehakiman.

Komen