Najib kemuka 94 alasan dalam petisyen rayuan
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya berhubung mengapa beliau harus dibebaskan daripada tuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Memetik laporan Malaysiakini, antara alasan dibangkitkan dalam petisyen itu ialah Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam fakta dan atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap perayu (Najib) atas semua tujuh pertuduhan dan memanggilnya untuk membela diri.
Dalam petisyen rayuan difailkan melalui Tetuan Shafee & Co, semalam, Najib, 68, mendakwa beliau terkilan dengan kesilapan serius dalam fakta dan undang-undang yang diputuskan oleh kedua-dua mahkamah dalam alasan penghakiman masing-masing secara keseluruhan, dan kecuali yang dinyatakan dengan jelas, perayu berpendirian bahawa penemuan dalam keseluruhan alasan penghakiman oleh kedua-dua mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi) menunjukkan kesilapan yang serius.
Najib didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020.
Sabitan dan hukuman ke atas Ahli Parlimen Pekan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Disember tahun lalu.
BACA LAGI: Umno tak perlu pertahankan saya, saya akan pertahankan diri sendiri – Najib
Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman sementara menunggu penyelesaian rayuan yang dikemukakan Najib.
Pada 11 April, Najib memohon lanjutan untuk memfailkan rayuan selewat-lewatnya pada 25 April dengan alasan peguamnya perlu meneliti sejumlah besar rekod untuk menyediakan petisyen rayuan yang lengkap. – Malaysiapost