Dakwa minta bantuan selesai kes, Zahid saman Tun M

Dakwa minta bantuan selesai kes, Zahid saman Tun M

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mendakwa beliau meminta bantuan bekas Perdana Menteri itu untuk menggugurkan tuduhan rasuah dihadapinya.

Memetik laporan FMT, Ahmad Zahid mempertikaikan dakwaan bahawa beliau pergi ke rumah Dr Mahathir bersama dua atau tiga individu lain sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ahmad Zahid mendakwa kenyataan Dr Mahathir itu tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan berniat jahat.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mendakwa kata-kata tersebut bermakna beliau menggunakan jalan pintas bagi menyelesai kes mahkamah dihadapinya untuk kepentingan peribadi.

Selain itu, katanya, ia juga bermaksud beliau mahu menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Perdana Menteri ketika itu agar campur tangan dalam siasatan.

BACA LAGI: Tak munasabah saya jumpa Tun M minta dilepaskan pertuduhan – Zahid

Dr Mahathir yang juga pengerusi Pejuang, membuat kenyataan itu pada satu majlis di Yayasan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari lalu yang mana rakaman videonya disiarkan beberapa portal berita.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir untuk meminta bantuan bagi menyelesaikan kesnya.

Dalam saman difailkan di Mahkamah Tinggi di Petaling Jaya minggu lalu melalui firma Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq, Ahmad Zahid memohon injunksi untuk menghalang Dr Mahathir daripada mengulangi dakwaannya selain menuntut ganti rugi teruk, am dan teladan.

Bulan lalu, Pengerusi BN itu memfailkan saman sama terhadap seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat dakwaan serupa semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. – Malaysiapost

Komen