Tak mahu ada lagi nyawa terkorban, MUDA saran hukuman mati dimansuh
PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyarankan supaya hukuman mati dimansuhkan agar tiada lagi nyawa yang akan terkorban.
Kenyataan itu menyusul selepas Nagaentran K Dharmalingam, rakyat Malaysia yang cacat mental menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura pagi tadi.
“MUDA masih kesal akan keputusan pihak mahkamah untuk menghukum gantung individu cacat mental yang telah dipenjarakan sejak tahun 2009 selepas dijumpai menyeludup masuk 42.72 gram dadah berjenis heroin ke Singapura.
“MUDA turut bersimpati akan keluarga dan rakan-rakan Nagaenthran. Sudah tiba masanya untuk undang-undang digubal dan hukuman sampai mati dimansuhkan agar tidak ada lagi nyawa yang dikorbankan,” kata parti itu menerusi hantaran di Facebooknya.
Bernama hari ini melaporkan adik Nagaentran, Navin Kumar mengesahkan dia berada di Penjara Changi untuk menuntut mayat abangnya.
Selasa lalu, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.
Panchalai Supermaniam memfailkan permohonan itu dengan bantuan rakan-rakan dan aktivis tanpa diwakili mana-mana peguam.
Perbicaraan didengar di hadapan tiga Hakim iaitu Andrew Phang; Judith Prakash; dan Belinda Ang.
Asas kepada cabaran undang-undang itu ialah Hakim Sundaresh Menon yang mengetuai dan menolak rayuan Nagaenthran sebelum ini merupakan Peguam Negara yang telah mendakwa Nagaenthran dan memastikan sabitannya.
Selepas permohonan ibunya ditolak, mahkamah membenarkan Nagaentran berpegangan tangan dengan tujuh ahli keluarganya yang hadir di kamar mahkamah.
Berasal dari Perak, Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.
Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19 ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya. – Malaysiapost